Assalamualaikum w.b.t

Selamat datang ke blog "memahami kanak-kanak". Sebagai seorang guru baru banyak perkara yang perlu dikaji terutama kanak-kanak. Mereka merupakan generasi akan datang yang mewarnai pelbagai corak di masa hadapan. Guru merupakan pemangkin kepada kejayaan mereka...

Sunday, December 13, 2009

Kaedah berkesan

Fokus: Kaedah berkesan
Oleh Rosniza Mohd Taha
yoniza@bharian.com.my

Proses P&P perlu memfokuskan pelajar, galak interaksi dua hala

KOMEN graduan tidak mempunyai kemahiran insaniah bukan saja kerap disuarakan pemimpin negara serta wakil industri, malah hasil Ujian Aptitud murid Tahun Enam tahun ini membuktikan masalah itu juga berlaku di kalangan pelajar sekolah.

Keputusan ujian julung kali dilaksanakan Kementerian Pelajaran ketika Ujian Pencapaian Sekolah Rendah itu menunjukkan cuma 5.7 peratus atau 29,084 daripada 509,885 murid terbabit mempunyai kemahiran menyelesaikan masalah dan membuat keputusan, manakala 34.34 peratus atau 175,101 lagi kemahiran berfikir.

Perangkaan itu petunjuk jelas bahawa proses pengajaran dan pembelajaran (p&p) di sekolah perlu diperbaiki agar tidak terlalu menekankan pencapaian A dalam peperiksaan, sebaliknya menitikberatkan pembangunan potensi menyeluruh.

Justeru, tidak hairan kenyataan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ingin mencontohi sistem pendidikan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina bagi memperbaiki p&p disangkal banyak pihak termasuk cendekiawan bangsa itu sendiri kerana ia dikatakan akan menghasilkan keputusan sama.

Antaranya, Profesor Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim, ketika memberi respon terhadap cadangan itu dalam akhbar China Press berkata SJK Cina hanya pandai atau mampu hasilkan kaki tiru atau dalam bahasa Inggeris `copycat'.

Beliau berkata, walaupun sistem diguna sekolah cina berkesan menghasilkan keputusan lebih baik dalam peperiksaan awam terutama dalam subjek Sains dan Matematik, ia tidak melahirkan pelajar kreatif.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr Wan Zahid Mohd Noordin, pula menyarankan agar mengkaji semula amalan p&p memfokus guru atau pensyarah sebagai jalan penyelesaian asas masalah itu diperhalusi.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi, menyifatkan tindakan pendidik mendominasi kelas dengan lebih banyak bercakap berbanding menggalakkan interaksi dua hala dengan pelajar sebagai melumpuhkan keupayaan anak didik mereka mengembangkan kemahiran berfikir dan menyuarakan pendapat.

Tindakan guru mendominasi p&p kelas, katanya, secara tidak langsung memberi mesej “Saya bercakap kamu dengar, tanya soalan hanya apabila saya benarkan dan jangan sekali-kali mengganggu ketika saya memberi penerangan.”

Berikutan itu, beliau berkata, suasana kelas sunyi sepi dan reaksi pelajar sekadar memberi renungan kosong setelah penerangan guru mengenai topik tertentu.

“Ia adalah tanda ruang kreativiti dan imaginasi pelajar menjadi lumpuh dan membantutkan perkembangan minda mereka setelah hampir 40 minit sekadar duduk mendengar guru menerangkan semula kandungan buku teks.

“Pembelajaran sehala yang menjadi amalan sistem pendidikan negara sekian lama ini perlu diubah.

“Ini bukan salah guru sepenuhnya kerana mereka diletakkan dalam keadaan itu, termasuk memenuhi arahan supaya menghabiskan sukatan pelajaran secepat mungkin bagi memberi laluan aktiviti latih tubi dan ulang kaji,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Antarabangsa Pengajaran dan Pembelajaran Peringkat Pengajian Tinggi 2009 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sementara itu, Chair Professor of Leadership and Change, Hong Kong Institute of Education, Dr Philip Hallinger, berkata pelajar kurang kemahiran berfikir serta p&p memfokus guru sebahagian hasil pendekatan kualiti berasaskan proses memfokuskan pematuhan terhadap polisi dan prosedur ditetapkan serta tidak mempunyai matlamat jelas.

Menerusi pendekatan itu, katanya, kualiti dianggap tercapai apabila guru melaksanakan sepenuhnya spesifikasi lengkap amalan p&p ditetapkan dan seterusnya mengelakkan perbezaan dalam sistem pendidikan.

Walaupun laporan pelaksanaan sistem kualiti seumpama itu kelihatan sempurna kerana memenuhi semua penetapan pihak berkuasa, beliau berkata:

“Wujud kesan tidak diingini seperti tekanan golongan pendidik kerana tertakluk dengan prosedur ditetapkan serta lazimnya berlaku pembangunan potensi pelajar yang tidak menyeluruh.

“Bagi mencapai hasrat pembangunan pelajar lebih menyeluruh, sistem pendidikan perlu beralih kepada pendekatan kualiti berasaskan produk yang lebih menumpukan pembangunan proses kerja untuk mengoptimum kualiti pelajar.”

Antara strategi pendekatan itu, katanya, adalah menekankan latihan kakitangan, menyelaraskan polisi, proses dan sistem kerja guru bagi mencapai matlamat ditetapkan, menilai perubahan dan hasil pelaksanaan prosedur kerja terhadap pelajar serta sentiasa mengemas kini strategi berdasarkan hasil penilaian.

Philip berkata, pendekatan kualiti berasaskan produk adalah memfokuskan pelajar iaitu polisi, proses serta p&p diselaras mengikut keperluan sasar, termasuk mempelbagai pilihan subjek serta melatih mereka menggunakan pengetahuan bagi menyelesaikan masalah.

Beliau berkata, peralihan daripada pendekatan proses kepada produk itu tidak dapat dilaksana dengan berkesan tanpa ‘restu’ Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi kerana ia membabitkan percanggahan dasar.

“Perubahan tidak semestinya secara drastik, sebaliknya boleh dilakukan secara berperingkat menerusi pengenalan instrumen atau program tertentu yang menunjukkan pihak berkuasa mempunyai matlamat jelas mengenainya termasuk ciri pelajar ingin dihasilkan,” katanya.

No comments:

Post a Comment